Jangan Cepat Menghukum Seseorang

Assalamualaikum....

Lama dah Yoe tak buka blog ni, dah bersarang dengan sarang Spider-man dah. Hahaha. Malam ni nak tulis tentang seseorang yang suka menilai orang lain tanpa usul periksa. Asalkan dapat peluang terus menghukum dengan mengata. Bak kata Laksamana Sunan dalam novel Bagaikan Puteri "Lebih baik tersalah ampun daripada tersalah hukum"

Tanpa kita sedar atau tidak, kadang-kadang kita terlalu cepat menghukum seseorang dengan pelbagai andaian tanpa berfikir dahulu. Mungkin setiap kata-kata kita keluarkan dari mulut boleh menyebabkan seseorang bertambah sedih dan kecewa. Kerana kita hanya fikir diri kita sahaja yang betul tanpa berfikir apa yang dia telah lalui pada hari itu. Macam contoh cerita yang Yoe ingin ceritakan moga kita boleh ambil sebagai pedoman dari kisah ini


~~~~~~~~

Pada suatu hari di sebuah masjid yang berdekatan dengan hospital ada seorang pak cik yang keletihan kerana penat bekerja di hospital. Pak cik ini tujuannya ke masjid untuk menunaikan solat dan berehat seketika sebelum bertolak balik ke rumah bersama keluarganya.

Selepas habis solat dan bersandar di penjuru masjid ada 3 orang kanak-kanak sedang berlari-lari dalam masjid. Kanak-kanak tu berlari-lari dihadapan dia yang sedang berehat. Pak cik tu terus mindsetkan dalam kepala dia kalau 3 kali mereka berlari depan dia, dia akan memarahi mereka.

1 kali.... mereka berlari dihadapannya




2 kali....mereka berlari dihadapannya




3 kali.....mereka berlari dihadapannya




Cukup sahaja 3 kali mereka berlari dihadapan dia, pak cik tu terus memanggil mereka dan berkata "Kamu bertiga ni memang tak boleh duduk diam ke berlari ke sana kemari. Kamu tahu tak pak cik ni penat bekerja datang sini nak berehat sekejap. Tapi bila kamu berlari pak cik lagi letih. Mak ayah kamu pergi mana tak boleh nak jaga kamu semua" 

Abang sulong dari beradik tu menjawab "Ayah kami ada *sambil menunjukkan kearah ayah mereka dihujung penjuru sebelah sana*". Pak cik tu bila tengok ayah mereka, dalam  hati terus memaki ayah mereka bertiga. Dengan perasaan marah dan tidak sabar pak cik tu pergi ke arah ayah mereka sambil diikuti  3 orang kanak-kanak itu dari belakang.

~
"Kamu memang tak pandai ke nak jaga 3 orang anak kamu, saya ni ada 10 orang anak semua saya boleh jaga,kamu hanya 3 orang ini sahaja tidak boleh jaga dengan biarkan mereka berlari dalam masjid ni. Saya ni penat baru habis kerja tapi bila tengok anak-anak kamu berlari buatkan saya lagi bertambah penat. tengok kamu pula relax je duduk kat sini" pak cik tu dengan nada tinggi memarahi ayah kepada 3 kanak-kanak tadi.

Ayah 3 kanak-kanak itu melihat anak-anaknya dan beralih penglihatannya ke arah pak cik tadi dengan nada yang rendah dan sedih dia berkata "Maafkan saya dengan sikap anak-anak saya menyebabkan pak cik tidak dapat berehat, saya dari hospital doktor sahkan yang isteri saya menghidap kanser paru-paru tahap keempat dan mungkin tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk dia atas dunia ni. Fikiran saya sekarang sedang bercelaru dan bermacam-macam perkara sedang bermain dalam minda saya ini. Macam mana dengan kehidupan saya selepas ini,macam mana dengan anak-anak saya bila ibu mereka telah tiada nanti. Saya sangat sedih sekarang sehingga terlepas pandang untuk menjaga anak-anak saya. Maafkan saya sekali lagi dengan sikap anak-anak saya ini"

Bila dengar cerita si ayah,pak cik itu terus senyap dan rasa bersalah dengan tindakan dia tadi.

Renungkanlah, jangan sampai kamu terburu-buru dalam menghukum seseorang yang belum kamu ketahui kehidupannya dan ingatlah bukan kita seorang yang mempunyai masalah, bahkan mungkin orang lain mempunyai masalah lebih besar dari kita.




Comments

Popular posts from this blog

PENGALAMAN DENGAN KEPALA AIR

Bukit Batu Putih, Gopeng, Perak

Mendaki Bukit Berekeh aka Bukit Botak di Sungai Siput Perak